Susulan daripada kenyataan media bertarikh 10hb. Ramadan 1447H bersamaan dengan 28hb. Februari 2026M, Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Negara Brunei Darussalam telah giat melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengetahui keadaan air kemerah-merahan di perairan Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama agensi-agensi berkepentingan iaitu Angkatan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei.
Hasil daripada pemantauan berterusan dari udara dan melalui analisis makmal ke atas sampel dari perairan Negara, dengan ini, Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan memaklumkan bahawa kawasan perairan luar pesisir pantai (offshore) dan kawasan pesisiran pantai (coastal) di Negara ini telah disahkan bebas daripada kejadian air kemerah-merahan.
Sehubungan itu, Jabatan Perikanan sukacita memaklumkan bahawa spesis yang sebelum ini terjejas akibat kejadian air kemerah-merahan iaitu ikan-ikan kecil seperti aur-aur, tamban, basong-basong, pusu, kuasi, bubuk dan kerang-kerangan, kini adalah selamat untuk dimakan. Dengan ini, larangan sementara ke atas aktiviti penangkapan, penjualan dan memakan kesemua spesis tersebut adalah ditarik balik.
Jabatan Perikanan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang ramai, para nelayan, peniaga makanan laut serta pihak-pihak berkepentingan atas kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh kejadian air kemerah-merahan ini.
Jabatan Perikanan akan terus melaksanakan pemantauan secara berkala terhadap keadaan perairan Negara bagi memastikan keselamatan makanan laut serta kelestarian ekosistem marin sentiasa terpelihara.
Dikeluarkan oleh: JABATAN PERIKANAN KEMENTERIAN SUMBER-SUMBER UTAMA DAN PELANCONGAN
15hb. Ramadan 1447H 5hb. Mac 2026M




