Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Perikanan, dengan kerjasama Institut Penyelidikan Biodiversiti dan Penyelidikan (IBER), Universiti Brunei Darussalam (UBD), Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) dan Poni Group Sdn. Bhd, mengadakan Persidangan ke arah melestarikan lautan: inovasi, tadbir urus dan daya tahan bagi masa depan biru Negara Brunei Darussalam selama tiga hari, bertempat di Pro-Chancellor Arts Centre, Universiti Brunei Darussalam. Persidangan ini diadakan bersempena Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (MYCE) 2026 dan akan berlangsung mulai pada hari Selasa, 2 Jun 2026 hingga hari Khamis, 4 Jun 2026.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, yang menyampaikan ucapan alu-aluan dan seterusnya merasmikan majlis tersebut yang turut diselajurkan dengan pelancaran buku ‘National Coral Reef Monitoring and Management Programme – A Unified Framework for Monitoring, Protecting and Restoring Brunei’s Reef Ecosystems’. Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi dan Duta Besar, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Ketua-ketua Jabatan, pegawai kanan kerajaan, wakil daripada kedua-dua organisasi tempatan dan antarabangsa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik, penyelidik, wakil pihak berkepentingan dan pihak swasta yang berkaitan dan peserta persidangan.
Persidangan dimulakan dengan sesi tematik pertama pada sebelah pagi bertajuk “Strengthening Climate Resilience Through Ocean Health and the Protection of Marine Life and Habitats” yang dikendalikan oleh Dr. Izni Azrein bin Noor Azalie, Pensyarah Geography, Environment and Development Programme, Faculty of Arts And Social Sciences dari Universiti Brunei Darussalam sebagai moderator. Sesi tersebut menampilkan penyertaan ahli-ahli panel dari dalam dan luar negara yang membincangkan usaha memperkukuhkan daya tahan iklim melalui pemeliharaan kesihatan lautan serta perlindungan hidupan dan habitat marin.
Pada sebelah petang, sejurus penyempurnaan majlis perasmian oleh tetamu kehormat, persidangan diteruskan dengan ucaptama yang disampaikan oleh Dr. Manuel Alejandro Gonzalez-Rivero, Principle Research Scientist daripada Australian Institute of Marine Science (AIMS). Ucapatama tersebut menjelaskan mengenai ancaman ke atas terumbu karang yang berpunca daripada faktor semula jadi dan aktiviti manusia, termasuk penangkapan ikan berlebihan, pembangunan kawasan pesisir pantai, pencemaran, dan perubahan iklim.
Oleh yang demikian, Jabatan Perikanan telah mengenal pasti terumbu karang sebagai salah satu komponen penting dalam mendokong agenda keselamatan makanan negara, memandangkan ekosistem ini berperanan sebagai habitat, kawasan perlindungan dan pembiakan bagi pelbagai spesies ikan serta hidupan marin yang bernilai kepada sektor perikanan. Menyedari kepentingan tersebut, Jabatan Perikanan telah bekerjasama dengan Kerajaan Australia melalui AIMS bagi melaksanakan projek pemantauan dan pengurusan terumbu karang, yang bertujuan untuk memperkukuh keupayaan teknikal, meningkatkan penggunaan pendekatan berasaskan sains, serta menangani cabaran utama dalam pemantauan ekosistem terumbu karang tempatan, demi memastikan sumber perikanan negara terus terpelihara dan menyumbang kepada keselamatan makanan secara mampan.
Persidangan ini diharap dapat mempertingkatkan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam bidang tadbir urus lautan, pemantauan, kawalan dan pengawasan (Monitoring, Control and Surveillance – MCS), pencegahan aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah, tidak dilapor dan tidak dikawal selia (Illegal, Unreported and Unregulated – IUU Fishing), serta pemuliharaan biodiversiti marin. Persidangan ini juga bertujuan bagi memudah cara pemindahan teknologi dan perkongsian pengetahuan berkaitan sistem pemantauan lautan, pendigitalan sektor perikanan, penilaian karbon biru, perancangan ruang marin dan sistem amaran awal, selain menyokong pembangunan kapasiti dan pengukuhan institusi bagi agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan pihak industri melalui bengkel-bengkel teknikal. Dalam masa yang sama, persidangan ini diharap dapat memupuk inovasi serta merangsang pertumbuhan ekonomi biru yang mampan menerusi, amalan akuakultur bertanggungjawab, teknologi marin dan amalan industri yang lestari.
Persidangan Ke arah melestarikan lautan: inovasi, tadbir urus dan daya tahan bagi masa depan biru Negara Brunei Darussalam ini menampilkan ahli-ahli panel tempatan dan antarabangsa, termasuk penyelidik, pegawai kerajaan, dan pakar-pakar dari institusi ternama. Ahli-ahli panel ini akan berkongsi kepakaran berkaitan pemeliharaan serta pengurusan lautan secara mampan, termasuk daya tahan iklim, pemuliharaan biodiversiti marin, pengurangan pencemaran laut, inovasi akuakultur, pembangunan ekonomi biru, teknologi marin dan tadbir urus lautan. Selain itu, para pembentang turut berkongsi dapatan penyelidikan dan penggunaan teknologi terkini seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), DNA alam sekitar (eDNA), sistem pemantauan marin serta usaha pemuliharaan habitat dan hidupan marin.
Persidangan ini dibahagikan kepada lima (5) tajuk tematik utama termasuk (1) Strengthening Climate Resilience Through Ocean Health and The Protection of Marine Life and Habitats; (2) Innovative Aquaculture for Food Security – Promoting sustainable, technology-driven aquaculture to ensure food security, support livelihoods, and drive growth in the blue economy; (3) Driving Sustainable Ocean Growth – Advancing responsible ocean-based industries for economic development while safeguarding marine resources; (4) Smart Ocean Governance; Collaboration Powered by Data – Strengthening policy frameworks in sustainable and equitable ocean management through partnerships, and regional cooperation, with the use of science, monitoring, and early warning systems for informed decision-making and climate adaptation; (5) Findings from Expedition. Antara hasil utama yang akan diperolehi dari persidangan ini nanti ialah pengukuhan kerjasama serantau dan antarabangsa, peningkatan perkongsian pengetahuan dan teknologi marin, sokongan terhadap penggubalan dasar berasaskan bukti, pembangunan kapasiti pelbagai pihak berkepentingan serta pemerkasaan inovasi dan amalan mampan dalam sektor perikanan, akuakultur dan ekonomi biru.
Maklumat lanjut mengenai Persidangan Ke arah melestarikan lautan: inovasi, tadbir urus dan daya tahan bagi masa depan biru Negara Brunei Darussalam bolehlah diperolehi melalui laman sesawang rasmi Jabatan Perikanan di www.fisheries.gov.bn, serta media sosial Instagram @fisheries.brunei.




